Header

Wednesday, 5 February 2014

Kerani Jaip Mengaku Tak Bersalah Minta Rasuah

Rasuah

KUANTAN, – Seorang kerani di Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah atas dua pertuduhan rasuah pada April tahun lepas.
Hakim Nik Nasimah Nik Mohammad kemudian membenarkan     Syed Firman Mohsen Syed Affendy, 30, diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin sebelum menetapkan 26 Feb ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Tertuduh didakwa meminta suapan daripada warga Pakistan, Amir Naveed Muhammad Hussain sebanyak RM6,000 sebagai dorongan tidak menangkapnya dan
menguruskan pasport serta permit kerja warga Pakistan, Zaryan Rasheed menerusi satu panggilan telefon pada 5.15 petang, 23 April 2013.
Syed Firman Mohsen juga dituduh menerima suapan sebanyak RM500 daripada Amir Naveed sebagai dorongan tidak menangkapnya pada 2.30 petang di Kampung Razali di sini pada 27 April 2013.
Bagi kedua-dua pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjayan Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda suapan atau sehingga RM10,000.
Dalam kes berlainan, seorang wanita mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas pertuduhan memalsukan dokumen untuk berkahwin dengan seorang warga asing tahun lepas.
Mazida Othman, 33, melakukan kesalahan itu di pejabat JAIP di sini pada 4 Mac tahun lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 akta sama, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Hakim Nik Nasimah kemudian membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM3,000 dan menetapkan 19 Feb ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sementara itu seorang usahawan, Mohd Nor Hashim mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas pertuduhan memalsukan dokumen dan memberikannya kepada pegawai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pekan, Rosli Zakaria, dua tahun lepas.
Mohd Nor, 55, didakwa memberikan dokumen palsu yang mengandungi maklumat pembekalan Effective Microorganism (EM) sebanyak 50 liter kepada peserta Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat bagi projek Ternakan Haruan Dalam Tangki bernilai RM2,500 di pejabat FAMA Pekan pada 13 Jan 2010.
Bagaimanapun, peserta hanya menerima antara 1 dan 10 liter sahaja bahan itu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali nilai suapan atau maksimum denda RM10,000.
Hakim Nik Nasimah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dan menetapkan 19 Feb ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Shafinaz Shabudin. – BERNAMA

Pelakon Pondan Thailand Jadi Sensasi Internet

Pelakon Pondan Thailand Jadi Sensasi Internet

Kecantikan seorang pelakon Thailand yang muncul hanya satu minit untuk satu babak dan menuturkan cuma sebaris ayat dalam filem China bertajuk ‘Lost in Thailand’ membuatkan sesiapa sahaja yang menonton tertarik padanya.
Ini membuatkan pelakon tersebut menjadi subjek carian paling utama bagi filem berkenaan mengalahkan kesemua pelakon lain termasuk watak utama.
Bagaimanapun, ramai pelayar internet kecewa dan terkejut apabila mengetahui pelakon cantik tersebut adalah salah seorang pelakon pondan terkenal di Thailand.

lost-in-thailand_rose_shemale

Lost In Thailand mendapat sambutan hangat penonton malah berjaya mencatat kutipan tertinggi dalam sejarah perfileman di China, mengalahkan The Avatar.

thai-transsexual-school

Menurut undang-undang Thailand, pondan atau transeksual masih dikategorikan sebagai lelaki tetapi boleh dirujuk sebagai wanita dalam dunia sosial.
Sebilangan tandas di kawasan awam negara tersebut turut mempunyai tandas khas bagi kaum ini, dikenali sebagai tandas ‘pink lotus’. - REM RAMZI

Chow Yun Fatt Wasiat Derma 1 Bilion Jika Mati

Chow Yun Fatt Wasiat Derma 1 Bilion Jika Mati

Walaupun diketahui gemar mengamalkan hidup secara sederhana, pelakon terkenal Chow Yun Fatt bukanlah seorang yang kedekut malah berhati mulia.
Buktinya, pelakon ini mengumumkan bahawa hartanya sebanyak HKD1 bilion (RM545 juta) akan didermakan kepada badan amal selepas kematiannya.
Walaupun sudah bertaraf selebriti antarabangsa, Chow Yun Fatt masih menganggap dirinya biasa-biasa sahaja. Perkara ini dikongsikan olehnya yang mengecapi ketenangan hidup selepas berjaya melawan nafsu materialistik.
Di saat ramai teman selebriti memilih untuk membelanjakan wang kepada nikmat dunia seperti kereta dan barangan berjenama, Chow Yun Fat sebaliknya gembira menaiki bas yang sesak sambil memakai kemeja lama.
Apa yang pelik, pelakon ini menyatakan tak ramai yang menyapa dan mengenalinya kerana kebanyakan masyarakat sekarang lebih gemar memandang telefon bimbit daripada melihat sekeliling.
Lebih daripada itu, siapalah sangka selebriti kaya sepertinya menaiki pengangkutan awam kan!
Bagaimanapun jika ada yang perasan, dia tidak keberatan untuk merakamkan gambar bersama apabila diminta.

6a011570827ead970c011570fda2ab970c-800wi
Menurut pelakon yang gemar tersenyum ini, dia tidak mahu membeli kereta dan mempunyai pemandu sendiri kerana tidak suka melihat orang menanti dirinya sepanjang hari.
Menyentuh soal wang dalam jumlah besar yang bakal didermakan selepas dia meninggal dunia, Chow Yun Fatt menyatakan dia tidak pernah berasakan duit yang dimiliki adalah benar-benar haknya tetapi dia cuma penyimpan wang tersebut untuk yang lebih memerlukan.
Chow Yun Fatt yang telah berlakon lebih 117 filem dan 24 siri televisyen merupakan suami kepada wanita Singapura, Charaine Zheng dan tidak mempunyai anak.
Memang tabiklah, sesungguhnya sukar sekali nak temui orang yang mempunyai hati semulia ini. - REM RAMZI


Perlawanan JDT, T-Team Tidak Sepatut Dihentikan

JDT

JOHOR BAHRU – Perlawanan pusingan kedua Piala FA 2014 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan T-Team di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin Sabtu lalu tidak sepatutnya dihentikan.
Ini kerana tidak berlaku sebarang insiden yang tidak diingini, kata pemain T-Team Irfan Abd Ghani, 25.
Irfan berkata, sewaktu di bilik persalinan beliau tidak melihat sebarang kecederaan dialami pemain import Evaldo Rodrigues dan jurulatih kecergasan Stefano Impagliazzo yang kononnya dikasari pegawai pengurusan tertinggi JDT.
“Hampir semua pemain mahu meneruskan permainan tetapi pembantu jurulatih pasukan (T-Team) Azlan Johar membuat keputusan agar kami menghentikan permainan dan balik,” katanya kepada pemberita selepas memberi kenyataan bagi membantu siasatan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.
Menurutnya, Azlan berkata jika mereka meneruskan permainan dan menang sekalipun, mereka takkan dapat balik ke Terengganu.
Keselamatan pasukan itu tidak terjejas sedikit pun ketika itu, kata Irfan yang masih mempunyai kontrak bermain setahun bersama T Team dan tidak diturunkan pada perlawanan itu.
Katanya keputusan untuk tidak meneruskan permainan bukan dibuat ketua jurulatih Azraai Khor.
Pemain pertahanan yang berasal dari Johor itu menafikan beliau membuat kenyataan itu kerana membuat perjanjian dengan JDT.
“Tidak, saya tidak berjumpa dengan mana-mana pihak JDT. Saya lakukan ini kerana tidak mahu terlibat dalam pembohongan,” katanya yang sanggup menerima apa jua tindakan termasuk dibuang daripada pasukan kerana menegakkan kebenaran.
Perlawanan antara JDT dan T-Team di Stadium Larkin itu ditangguhkan selepas separuh masa pertama apabila T-Team yang ketinggalan 1-2 tidak mahu meneruskan permainan atas alasan keselamatan.
Kelmarin pemain T-Team, pihak pengurusaan dan jurulatih kecergasannya membuat empat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Terengganu berhubung insiden itu.
Ketua jurulatih JDT César Ferrando Jiménez turut membuat laporan polis di Balai Polis Sentral Johor Baharu Selatan di sini semalam berhubung kejadian itu. – BERNAMA

KLIA2 Akan Dibuka Ikut Jadual Pada 2 Mei

Hishamuddin

KUALA LUMPUR – Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata tiada sebarang tarikh penangguhan untuk tarikh pembukaan klia2 dan menegaskan lapangan terbang itu akan tetap dibuka pada 2 Mei.
Kegagalan kontraktor usaha sama UEMC-Bina Puri mendapatkan Sijil Perakuan Penyiapan dan Pematuhan (CCC) tidak akan menangguhkan penyiapan projek ikonik klia2, katanya. – BERNAMA

Jerebu Di Lembah Klang Bukan Debu Gunung Berapi

Jabatan Alam Sekitar

KUALA LUMPUR – Tiada kesan ketara ke atas kualiti udara di Malaysia setakat ini disebabkan kejadian letusan gunung berapi Sinabung di Sumatera Utara, Indonesia beberapa hari lalu.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam satu kenyataan media memberitahu, situasi udara di sekitar kawasan Lembah Klang kelihatan sedikit berjerebu adalah disebabkan kehadiran habuk halus atau partikel udara yang terampai dalam keadaan cuaca sekarang yang panas dan kering.
“JAS sentiasa memantau dengan rapi status kualiti udara di seluruh negara semenjak berlakunya kejadian letusan gunung berapi Sinabung. Sehingga ke tarikh hari ini, tiada kesan ketara ke atas kualiti udara yang disebabkan oleh kejadian letusan gunung berapi tersebut,” kata kenyataan itu hari ini.
Mynewshub.my semalam melaporkan JAS memberi peringatan debu-debu gunung berapi dari Sinabung di Sumatera Utara pada 2 Februari lalu berkemungkinan memasuki kawasan Selatan Semenanjung Malaysia dalam masa terdekat.
Ia berikutan sehingga pada jam 6 petang kelmarin, terdapat pergerakan angin barat laut dari lokasi kejadian yang berkemungkinan membawa bersama debu-debu gunung berapi tersebut ke kawasan
JAS seterusnya memaklumkan, habuk halus atau partikel udara yang terampai merupakan bahan pencemar yang dilepaskan ke atmosfera daripada pelbagai punca aktiviti manusia antaranya pelepasan kenderaan bermotor, perindustrian, aktiviti pembangunan tanah dan pembinaan.
Kata kenyataan itu, sehingga kini tiada sebarang pembakaran terbuka berskala besar yang boleh menyebabkan keadaan berjerebu di sekitar Lembah Kelang.
“Keadaan atmosfera yang stabil (stagnant) dan topografi kawasan Lembah Klang yang bercirikan lembah menyebabkan habuk halus atau partikel udara yang terampai terperangkap di ruang udara dan tidak dapat menyebar dengan cepat.
“Berdasarkan laporan cuaca oleh Jabatan Meteorologi Malaysia pada 4 Februari 2014, beberapa kawasan di Lembah Klang iaitu Daerah Kepong, Kuala Lumpur dan Daerah Hulu Selangor, Kelang, Petaling dan Sepang, Selangor telah tidak menerima hujan melebihi lima hari berturut-turut,” kata kenyataan itu.
JAS turut memaklumkan, bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) yang direkodkan pada pukul 12 tengahari hari ini menunjukkan sebanyak 32 kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik, manakala sebanyak 20 kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap sederhana.
Jelas kenyataan itu, tiada kawasan yang mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat .
Tambah kenyataan itu, berikutan cuaca panas dan kering, JAS mengaktifkan Pelan Tindakan Mencegah Pembakaran Terbuka di semua negeri.
Selain itu, JAS turut mempertingkatkan pelaksanaan Prosedur Tetap Operasi (SOP) Program Pencegahan Kebakaran Tanah Gambut Yang Mudah Terbakar bagi mencegah dan mengawal sebarang punca tempatan yang boleh menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara dan jerebu.


Sukma: Melaka Sasar 2 Emas Acara Golf

Sukma: Melaka Sasar 2 Emas Acara Golf

MELAKA – Persatuan Golf Negeri Melaka (PGNM) mensasarkan dua emas dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-17 yang akan diadakan di Perlis bermula 24 Mei hingga 4 Jun ini.
Timbalan Presidennya, Datuk Khamis Abu Samah berkata sasaran itu dijangka mampu dicapai berikutan tahap dan kualiti permainan yang ditunjukkan pemain di negeri itu semakin baik.
“Kami sedang proses memilih pemain terbaik daripada kalangan pelatih untuk untuk Sukma Perlis,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan RM1,000 masing-masing kepada pemain Mohd Zulhelmi Ramli dan Nur Eliana Ariffin di sini hari ini.
Sumbangan tersebut adalah atas kejayaan pemain itu menyertai skuad kebangsaan bulan lepas. Majlis sumbangan tersebut disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron.
Khamis berkata kedua-dua pemain itu turut menerima elaun bulanan sebanyak RM300 daripada PGNM dan akan mewakili Melaka dalam Sukma ke-17.
Antara pencapaian Mohd Zulhelmi adalah beliau pernah mewakili Melaka ke kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) sejak 2008 dan merangkul tempat ketiga dalam kejohanan MSSM, tahun lepas.
Nur Eliana pernah mewakili Melaka ke kejohanan MSSM 2010 hingga 2013, wakil Melaka ke Sukma 2010 hingga 2013, pemain pelapis kebangsaan 2013, penerima anugerah Olahragawati MSSM 2013 dan pernah menjadi naib johan Sukan Remaja Asia.
Nur Eliana berkata beliau akan meningkatkan tahap latihannya sebagai persediaan untuk meraih emas dalam kejohanan Sukma akan datang.
“Mengukur prestasi saya sekarang, saya lihat peluang agak cerah untuk meraih pingat emas dalam kejohanan itu,” katanya. – BERNAMA