Header

Friday, 7 February 2014

Ibu Tua Berusia 100 Tahun Sanggup Bela Anak OKU Berumur 62 Tahun

Warga Emas

KUALA NERANG – Sudah 62 tahun, seorang ibu yang kini dipercayai berusia lebih 100 tahun membela anak lelakinya yang kelainan upaya (OKU).
Meliah Md Diah yang kematian suami 20 tahun lalu berseorangan menjaga anaknya Abd Rahman Daud, 62, di rumah mereka di Kampung Bukit Nambua, Mukim Belimbing, di sini.
Abd Rahman cacat anggota badan akibat diserang sawan sejak kecil.
Anak bongsu dari empat beradik itu hanya terbaring dan tidak boleh bercakap serta memerlukan bantuan ibunya untuk makan, mandi dan bergerak.
Adik-beradik Abd Rahman yang lain sudah meninggal dunia.
“Hari-hari mak cik suap nasi sebab dia tak boleh makan sendiri. Mak cik mandi dia, pakaikan baju dan dudukkan dia di beranda rumah berehat. Ada adik beradik mak cik mai jenguk(datang ziarah) dan tolong,” katanya kepada pemberita di rumahnya di sini, hari ini.
Ditanya mengenai usianya yang panjang, Meliah berkata beliau banyak memakan ulam dan makanan berebus.
“La ni (sekarang) cuma sakit tua saja, tak larat, telinga pun tak berapa nak dengar dan mata sikit kabur,” katanya yang turut mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Mak Cik bersyukur sebab diberi nikmat kesihatan dan kekuatan untuk jaga anak istimewa ni. Kalau kata satu hari nanti Mak Cik pergi dulu (meninggal dunia), harap adik beradik lain dapat jaga dia (Abd rahman) dengan baik,” katanya.
Namun nasib dua beranak ini mendapat pembelaan apabila menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan Negeri, Badrol Hisham Hashim.
Badrol Hisham yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Nerang berkata, selain menyumbangkan keperluan harian, pihaknya akan membina sebuah rumah baharu bagi memudahkan dua beranak itu bergerak dan keluar masuk rumah tanpa perlu memanjat tangga.
“Kalau lihat rumah mereka agak uzur dan mereka terpaksa naik turun tangga. Kita akan bina rumah yang lebih selesa dan akan beri kelengkapan lain seperti kerusi roda,” katanya yang turut meminta pihak korporat menghulurkan sumbangan.
Pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) turut membantu dengan membuat kad pengenalan baharu untuk Abd Rahman yang kali terakhir dibuat pada Januari 1969 ketika berusia 17 tahun.
Ketua Unit Komunikasi Korporat JPN Kedah, Basharudin Ibrahim berkata kad pengenalan baharu itu akan siap dalam tempoh 10 hari lagi. – BERNAMA

Tak Tahan Dipersenda, Murid Terjun Tingkat 3 Bangunan Sekolah

Tak Tahan Dipersenda Guru, Murid Terjun Bangunan

Johor Bahru: Hukuman denda luar biasa seorang guru sebuah sekolah di Skudai, dekat sini, supaya sekumpulan murid perempuan membuli seorang murid lelaki dengan mempersendanya beramai-ramai kerana kesalahan membuat bising dalam kelas dipercayai menyebabkan murid berkenaan tertekan dan tidak lama kemudian, dia didapati terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah hingga patah kedua-dua kaki.
Dalam kejadian jam 1.40 petang, 5 Februari lalu, murid tahun lima dikenali sebagai Aziz yang juga pengawas sebuah sekolah di Mutiara Rini, Skudai, didenda guru kelasnya kerana membuat bising ketika sesi pembelajaran.
Aziz diarah berdiri di tengah-tengah sekumpulan murid perempuan dengan niat mempersendanya.
Bapa murid itu dikenali sebagai Mohamad, 50-an, mendakwa selepas kejadian, pengurusan sekolah menghubungi isterinya memaklumkan kejadian itu.
Menurutnya, keluarganya terkilan dengan kejadian menimpa Aziz kerana difahamkan dia terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah selepas didenda guru kelasnya.
“Dia dikelilingi sekumpulan murid perempuan menyebabkannya malu serta tertekan,” katanya.
Mohamad berkata, dia diberitahu isterinya anak mereka terjatuh dan dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru pada jam 1.50 petang.
Bagaimanapun, menurutnya dia tidak pasti sama ada Aziz terjatuh atau sebaliknya dan menyerahkan kepada polis untuk menyiasat.
“Saya sudah bertemu pengurusan sekolah, namun tidak mendapat maklum balas memuaskan.
“Kedua-dua kaki Aziz patah dengan kaki kirinya patah di dua bahagian,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nusajaya Dr Zaini Abu Bakar ketika dihubungi berkata, pihaknya maklum dengan kejadian berkenaan dan berharap pengurusan sekolah melakukan siasatan serta memberi penjelasan penuh kepada keluarga murid itu. – myMetro

Makanan Restoran Serina Indah Khabar Dari Rupa?

Makanan Di Restoran Serina Indah Khabar Dari Rupa?

Selera manusia tidak sama, kadang-kadang sedap di mulut kita tapi sebaliknya bagi orang lain.
Sebab itulah ada sesetengah restoran yang jadi kegemaran kita, mungkin tidak disukai sesetengah rakan-rakan kerana berasakan ia tidak kena dengan selera mereka.
Bagaimanapun apabila restoran itu milik selebriti popular, sudah tentulah sedikit sebanyak orang akan berminat untuk menyebarkan sebarang testimoni yang didengar.
Mungkin itulah yang berlaku apabila beberapa pelanggan dikatakan mengadu kepada sebuah akhbar tempatan bahawa makanan yang disajikan di restoran pelakon, Serina Redzuawan indah khabar dari rupa.

Restoran-Char-Koay-Teow-Simply-Delicious-Penang-Mai

Apabila diminta menjawab keluhan pelanggan tersebut, Serina yang turut dikenali umum sebagai anak Chef Wan menganggap hal ini tidak perlu diperbesarkan kerana masih ramai pelanggan lain yang berpuas hati dengan makanan disajikan di restoran miliknya yang terletak di Kota Damansara itu.
Serina juga beranggapan tidak mustahil ada pihak cuba untuk menjatuhkan perniagaannya dengan mereka cerita.
Begitu pun, Serina turut meluahkan bimbang jika papanya (Chef Wan) akan naik angin dengan berita ini kerana ia mampu menjejaskan reputasi dan perniagaannya.
Hm, bersabarlah Serina.
Kalau betul kualiti makanannya tinggi maka tidak ada apa yang perlu dibimbangkan kerana ‘produk yang baik pasti akan bercakap dengan sendiri’. Betul tak? - REM RAMZI

Thursday, 6 February 2014

Tangan Putus Bukan Sebab Pulas Telinga Anak Murid

Tangan Putus Bukan Sebab Pulas Telinga Murid

Semalam, gambar ngeri tangan seorang pemuda terputus ditetak parang  tersebar di laman siber. Dikatakan, kejadian berlaku di Sabah apabila seorang bapa mengamuk terhadap guru yang memulas telinga anaknya.
Bagaimanapun, fakta kejadian adalah tidak betul malah ia bukan berlaku di Sabah sebaliknya Sarawak.
Berikut adalah kejadian sebenar yang berlaku mengikut laporan polis:
Pada 05/02/14 jam lebih kurang 5.30 petang semasa Zainal (mangsa) pulang dari kerja bersama seorang rakannya yg dikenali sebagai Iman, mangsa dan Iman ada minum minuman keras sebanyak 5 tin. Kemudian Iman telah mengajak mangsa ke rumah Mayling di Kg Pelandok Laut Sadong Jaya, bertujuan untuk meminta hutang ayah Iman sebanyak RM300 drp Mayling.Semasa tiba di hadapan rumah Mayling, Iman telah meminta hutang tersebut kepada Mayling. Mayling bersetuju dan terus masuk ke dalam rumah manakala mangsa bersama rakannya menunggu di luar rumah. Tidak lama kemudian Mayling telah keluar dengan membawa sebilah parang panjang dan terus mengejar mangsa dan Iman. Mangsa dan Iman telah melarikan diri namun mangsa telah ditetak di pergelangan tangan kiri. Kemudian mangsa dibawa oleh penduduk kampung ke Klinik Kesihatan Sadong Jaya dan seterusnya dibawa ke Hospital Umum Kuching kerana mengalami kecederaan parah dan ditempatkan di wad kecemasan.Hasil pemeriksaan doktor menyatakan semasa menerima mangsa, mangsa dalam keadaan putus pergelangan tangan kiri, namun keadaan mangsa stabil. Menurut doktor, kecederaan mangsa berkemungkinan disebabkan oleh sesuatu alat/senjata tajam yg berukuran panjang lebih kurang 2 kaki.
Jadi dapatlah dirumuskan, mangsa dalam kejadian ini yang dikenali sebagai Zainal sebenarnya ditetak ketika menemani rakannya memungut hutang daripada seseorang di Kg Pelandok Laut Sadong Jaya, Asajaya, Sarawak.
Tak tahulah siapa yang pandai-pandai buat skrip sendiri kemudian menyebarkannya pula kepada orang ramai.

tangan 2

Apa pun, kejadian ini memang mengerikan dan wajar dijadikan pedoman. - REM RAMZI
Sumber: http://rx.hu/CKHw

Kemusnahan Tanah Suci Yang Disembunyikan

Kemusnahan Tanah Suci Yang Disembunyikan

Siapa yang baru sahaja pulang dari umrah sekarang pasti membawa gambar-gambar kawasan Arab Saudi yang semakin maju, gilang gemilang dengan segala puncak menara di merata-rata ceruk Mekah dan Madinah. Sebanyak $ 26 billion telah dibelanjakan untuk tujuan ini. Tapi tahukah anda, apa yang berlaku di sebaliknya?!
Dari apa yang kita boleh lihat struktur ikonik lama Masjidil Haram telah pun dimusnahkan untuk memberi laluan kepada rekaan model lebih kontemporari. Pemusnahan bangunan Masjidil Haram yang dibina oleh kerajaan Ottoman/Uthmaniyah ini menerima tentangan ramai pihak terutamanya ahli arkaelogi yang merasakan kerajaan Saudi merosakkan struktur bersejarah Islam tanpa mempedulikan kesannya.
Pihak Saudi memberi alasan bangunan binaan kerajaan Ottoman/Uthmaniyah ini mempunyai rekaan bida’ah/syirik kerana terdapat ukiran nama sahabat. Selain itu juga terdapat perancangan untuk memusnahkan stukutur kubah Masjid Nabawi sekarang kerana ia juga dikatakan tidak cukup Islamik.
Kenapa tidak cukup Islamik? Kerana kubah hijau yang menutupi makam Rasulullah SAW juga dikatakan bida’ah. Kubur tidak boleh mempunyai tanda mengikut fahaman Wahhabi. Kuburan Saidina Umar dan Abu Bakar yang disemadikan bersebelahan makan Rasulullah juga akan dimusnahkan suatu hari nanti jika keadaan ini berterusan.
Walaupun atas nama pemodenan dan pembesaran Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, tetapi itu bukanlah tiket khas untuk menutup sejarah dan tempat tinggalan Nabi SAW dan para sahabat!
Persoalan ini membawa kepada soalan seterusnya, iaitu, “Mengapa hanya pihak SAUDI mempunyai hak membentuk arah tuju Mekah dan Madinah? Kenapa tiada persetujuan diambil terlebih dahulu sebelum projek pembinaan/pemusnahan ini dilakukan? dan haruskah Mekah dan Madinah berada di bawah jajahan keluarga Al Saud”
PERSOALAN DEMI PERSOALAN
Kesemua projek naik taraf dan pembangunan di kedua-dua kota suci Islam ini dilakukan di bawah arahan Raja dari keturunan Saud, sebab tu nama negara tersebut Arab Saudi. Beliau juga digelar “Penjaga Dua Masjid Utama”.
Keyword disini ialah PENJAGA dan bukannya TUAN PUNYA. Di dalam Islam sendiri kita sedia maklum wujud konsep MUSYAWARAH. Jadi mengapa tiada musyawarah dilakukan diantara kesemua pemimpin negara Islam untuk membincangkan hala tuju permodenan Mekah dan Madinah?
Pihak Saudi nampaknya sangat autokratik dalam membuat keputusan permodenan. Tak mengapalah untuk keselesaan orang awam tapi kalau dah sampai menghancurkan termpat-tempat sejarah sahabat dan Nabi SAW, apa cerita ni?!
Kemudian semua projek pembinaan diberikan kepada firma Saudi Bin Ladin Group. Kita semua sedia maklum bila seseorang Muslim itu menderma kepada pembinaan sebuah masjid, surau atau tanah wakaf, pahala dari pemberian mereka itu akan berterusan sehingga hari kiamat. Kenapakah keluarga Al Saud dan Bin Ladin memonopoli projek ini tanpa perbincangan dari semua negara Islam?
Tidak banyak pemimpin Muslim yang berani menegur monopoli 2 masjid suci ini untuk kerabat dan kroni mereka sendiri? Hanya Presiden Turki dan Iran yang mempunyai semangat dan keberanian untuk mempersoalkan kemusnahan bangunan bersejarah Islam di Kota Mekah dan Madinah yang sedang giat dilakukan kerajaan Saudi. Mereka juga membantah pengkomersilan melampau yang berlaku di Mekah.
Contoh pengkomersilan melampau ialah Raffles Makkah Palace, hotel mewah siap dengan butler yang terletak bersebelahan Masjidil Haram. Menara jam gergasi yang ada sekarang pula rata-rata dipersetujui telah mengalihkan perhatian umat Islam dari memandang Kaabah.
dsddwdwd
Saya yakin anda pasti bersetuju bahawa tarikan utama Mekah sepatutnya ialah untuk beribadah dan melihat Kaabah. Bukannya pergi hotel mewah dan jam gergasi tertinggi di dunia. Agak ironik rumah nabi, sahabat, makam isteri-isteri nabi dan telaga nabi dimusnahkan kerana “bida’ah” dan di atas tapak yang diratakan itu pu dibina cawangan makanan ‘HARAM’ Starbucks, Marks and Spencer, Raflles Hotel dan McDonalds.
Antara kesan yang nyata akibat permodenan Mekah dan Madinah ialah kos untuk menunaikan haji serta umrah menjadi terlalu mahal. Ini mengakibatkan umat Islam yang sepatutnya sudah mampu menunaikan haji terpaksa mengumpul lebih banyak wang untuk memenuhi rukun Islam ke 5.
Ramai golongan tua yang baru pulang umrah mengeluh Mekah yang mereka lawati pada tahun 90-an ketika menunaikan haji dahulu sudah hilang. Menurut mereka pengkomersilan yang melampau membuatkan Mekah terasa seperti seakan sebuah theme park dan bukan lagi tempat untuk beribadat kepada Allah.
Salah siapa kalau bukan kerajaan-kerajaan Islam sendiri yang memberikan keluarga As-Saud keizinan mutlak untuk melakukan apa yang mereka suka. Kalau berani bersuara kuota Haji negara akan dikurangkan oleh As-Saud and Co. Islamik kah ini?!
Last but not least mungkin lebih baik jika Makkah dan Madinah menjadi mini country seperti Vatican dimana penjaganya digantikan mengikut undian umat Islam. That way tak ada one person yang boleh buat keputusan sesuka hati. Ini juga akan membebaskan Mekah dari menjadi milik keluarga As-Saud untuk mendesak negara Islam lain untuk menutup mulut mereka atau dikurangkan kuota apabila sebarang rancangan mereka digugat atau dipersoalkan.
Semoga Allah membantu kita semua dan Islam walaupun saya sedar bahawa salah satu daripada tanda akhir zaman atau kiamat kecil adalah apabila kaum yang dahulunya mengembala kambing di gurun-gurun mula berlumba-lumba membina bangunan yang tinggi-tinggi (atas tujuan menonjolkan kekayaan mereka).
Moga Allah sentiasa merahmati kita dan memahamkan kita betapa pentingnya peninggalan sejarah tamadun awal Islam kepada kita. - wafiqulya.blogspot.com

Parkir Di Tempat OKU: YB Kuala Pilah Minta Maaf Bagi Pihak Pemandu

YB Kuala Pilah Minta Maaf Bagi Pihak Pemandu

TAHNIAH diucapkan kepada YB Kuala Pilah, Dato’ Norhayati Omar yang tidak melatah apabila dikecam selepas gambar kenderaannya diletakkan di parkir OKU dikongsikan di media sosial.

Fullscreen capture 272014 125126 PM

Sebaliknya, Dato’ Norhayati segera bertindak meminta maaf secara terbuka walaupun kesalahan itu bukan dilakukan olehnya.

Fullscreen capture 272014 123429 PM

Di laman Facebook , Dato’ Norhayati turut mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan pihak yang berkongsikan perkara tersebut sebelum meminta maaf bagi pihak pemandu beliau.
Difahamkan, Dato’ Norhayati tidak ada bersama pemandunya ketika kesalahan itu dilakukan.
Benar ini mungkin hal kecil saja tapi berapa ramai yang sanggup yang sanggup meminta maaf secara terbuka seperti YB ini? - REM RAMZI


Unik: Apple Raikan Ulangtahun Ke-30

Unik: Apple Raikan Ulangtahun Ke-30

BEBERAPA minggu lalu, syarikat elektronik gergasi, Apple telah menyambut ulangtahun mereka yang ke-30.
Sepanjang tempoh tersebut pengguna dapat melihat pelbagai inovasi dan revolusi yang dicapai syarikat ini.
Salah satu aktiviti yang dilakukan Apple bagi meraikan ulangtahunnya termasuk menghantar 15 krew mereka ke seluruh dunia, masing-masing lengkap dengan peranti iPhone 5s sebagai kamera utama selain peralatan lain seperti steadycam, lampu serta aplikasi pihak ketiga bagi mengambil gambar-gambar terbaik.
Walaupun terdapat proses suntingan yang dilakukan pada gambar-gambar seperti pembetulan bagi warna dan aspek asas lain, namun imej yang dihasilkan patut diberi pujian.

Belum Disahkan: Spesifikasi Peranti S5

Belum Disahkan: Spesifikasi Peranti S5

SELEPAS laporan berkenaan peranti terbaru Samsung, Galaxy S5 mungkin akan diumumkan pada hujung bulan ini di majlis Unpacked di Barcelona, nampaknya ada pihak telah pun “menjumpai” spesifikasi untuk telefon pintar ini.
Jika spesifikasi yang dinyatakan adalah benar, nampaknya Galaxy S5 mungkin rekaan terbaik bagi siri telefon pintar Samsung.
Menurut sumber dari sebuah portal gajet yang dikenali sebagai BGR, Samsung Galaxy S5 mungkin akan dilengkapi dengan spesifikasi seperti berikut:
- Sama ada pemproses 2.5GHz Quad-core Snapdragon atau 2.0GHz Octa-Core 64-Bit Exynos SoC, menurut rantau berbeza
- Paparan skrin 5.2 atau 5.2 inci AMOLED serta resolusi WQHD (2560 x 1440)
- Memori RAM 3GB
- Memori dalaman 32/64/128GB
- Kamera belakang 16MP serta kamera hadapan 3.2MP
- Bateri kuasa 3200mAh
- Casis bekas besi pertama bagi model Samsung
- Dilancarkan sama ada pada suku pertama atau suku kedua tahun ini
Tiada pengesahan yang dapat dibuat berkenaan dengan spefisikasi mahupun reka bentuk (gambar di atas hanyalah gambar konsep) peranti ini.
Tetapi sekurang-kurangnya, anda sudah mampu membuat anggaran awal tentang prestasi dan rekaan yang bakal dihidangkan khas oleh Samsung untuk anda.

Status Peminat Bola Yang Mengancam Akidah

Bola Sepak Punya Pasal, Agama Tolak Tepi?
Sabtu lalu, berlaku kekecohan antara pasukan JDT dan T-Team apabila perlawanan bola sepak yang berlangsung di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor dihentikan sebelum babak kedua kerana insiden keganasan.
Kejadian ini meninggalkan impak besar dalam kalangan kedua-dua peminat bola sepak negeri terbabit.
Rata-rata pengikut T-Team berasa marah apabila mengetahui pemain mereka dikasari manakala pengikut JDT pula tidak puas hati kerana menganggap cerita sebenar telah ditokok tambah.
Justeru, berlaku perdebatan hangat di beberapa portal dan laman media sosial terutama yang mewakili negeri terbabit.
Malangnya, ada kalangan peminat bola sepak dilihat terlajak terlalu jauh dalam mengutarakan pendapat dan kemarahan mereka hinggakan agama diletak ke tepi.
Contohnya pemilik Facebook di atas yang tergamak mengetepikan ustaz, ulama dan nabi demi sultan.
Kalau pun komen itu dibuat atas dasar sinikal sekalipun, ia tetap keterlaluan.
Diharapkan individu terbabit segera sedar bahawa dia telah mempertaruhkan pegangan agamanya semata-mata kerana bola sepak yang sepatutnya sekadar hiburan.
Kawan-kawan kepada penama Facebook di atas, harap tolong nasihat kawan anda ini.

Abang Johari Enggan Ulas Spekulasi Ganti Taib

Datuk Amar Abang Johari Tun Openg

KUCHING – Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Abang Johari Tun Openg enggan diseretkan dalam spekulasi bahawa beliau antara pemimpin parti itu yang bakal menggantikan Tan Sri Abdul Taib Mahmud sebagai Presiden PBB dan Ketua Menteri Sarawak.
Beliau mengesahkan satu mesyuarat khas majlis tertinggi PBB akan diadakan pada Sabtu ini, namun enggan mengulas sama ada Abdul Taib akan mengumumkan keputusannya untuk bersara pada mesyuarat itu.
“Anda yang cakap (mengenai persaraan Abdul Taib) sebagai spekulasi. Saya tidak boleh ulas spekulasi itu,” katanya kepada pemberita ketika ditanya laporan muka hadapan akhbar Berita Harian bahawa Abdul Taib akan mengumumkan persaraannya sebagai Ketua Menteri sebelum penghujung minggu ini.
Laporan itu, yang memetik sumber, menyatakan Abdul Taib, 78, yang menyandang jawatan itu sejak 1981, juga akan bertemu semua wakil rakyat Barisan Nasional negeri pada Ahad ini.
Selain Abang Johari yang juga Menteri Pelancongan Sarawak dan Menteri Perumahan Sarawak, turut diuar-uarkan menggantikan Abdul Taib ialah Naib Presiden Kanan PBB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang juga Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II Sarawak, Menteri di Pejabat Ketua Menteri  Tan Sri Adenan Satem dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Effendi Norwawi. – BERNAMA

Tiada Lagi Tanda Harga Pada Papan Pamer

Mohd Roslan Mahayuddin

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan(KPDNKK) akan memastikan tanda harga bagi semua barang kawalan dan bukan kawalan dipamer dengan jelas dan tepat dan bukan lagi melalui papan pamer yang diguna pakai ketika ini.
Ketua Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNKK, Mohd Roslan Mahayuddin berkata,langkah tegas itu diambil berikutan ramai peniaga tidak mematuhi tanda harga yang dipamerkan pada papan pamer.
Katanya, peraturan baharu itu akan dikuatkuasakan dalam masa terdekat bagisemua jenis premis meliputi restoran, kedai, outlet, pasar, pasar raya danpemborong termasuk yang menjual barangan bernilai tinggi.
“Kita menyahut saranan Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan melancarkan semula program (pelabelan dan tanda harga) itu demi kepentingan pengguna. Semua jenis barangan perlu dipamerkan tanda harga dengan jelas dan boleh dilihat.
“Selama ini kita boleh terima tanda harga di ‘display board’ (papan pamer), tetapi didapati ia boleh disalah guna dan harga itu tak tepat. Jadi dalam keadaan sekarang tanda harga itu perlu diletakkan pada setiap barangan,” katanya dalam sidang media di sini Rabu.
Mohd Roslan berkata, sejak 2000 hingga 2013, bahagian penguatkuasa KPDNKK mengambil tindakan terhadap 54,503 peniaga yang gagal mempamerkan tanda harga dengan rampasan barangan bernilai RM69 juta.
“Ini menunjukkan bahawa kami (KPDNKK) begitu serius dalam penguatkuasaan peletakan tanda harga yang memudahkan pengguna untuk membuat perbandingan hargasebelum membuat keputusan membeli,” katanya.
Menurutnya di bawah Ops Harga 2014 (bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga merah jambu) dari 1 Januari hingga 4 Februari lalu, sebanyak 137,504 premis telahdiperiksa dengan rampasan barangan bernilai RM200,390 selain kompaun RM87,100.
“Pada 4 Februari sahaja, kita memeriksa sebanyak 5,541 premis dan merampas barangan bernilai RM3,235 selain mengenakan kompaun RM2,300 bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga merah jambu,” katanya.
Tanda harga berwarna merah jambu adalah khusus untuk barang kawalan. – BERNAMA

Harga Sayur Di Pulau Pinang Turun

Harga Sayur Di Pulau Pinang Turun

BUKIT MERTAJAM – Harga beberapa jenis sayur di Pulau Pinang turun sejak semalam berikutan bekalannya kembali pulih selepas pembekal dan pemborong mula menghantar bahan mentah berkenaan kepada peniaga.
Tinjauan Bernama di Pasar Awam Bukit Mertajam di sini mendapati harga cili merah turun kepada RM8 sekilogram berbanding RM10.50 sebelum sambutan Tahun Baharu Cina minggu lepas, sementara harga sawi kini RM2 sekilogram berbanding RM3.50 sebelum ini.
Harga tomato yang sebelum ini RM5.50 sekilogram juga turun kepada RM4.30 hari ini manakala beberapa sayuran yang diimport dijual pada harga sama, contohnya kobis panjang dari China pada harga RM3.50 sekilogram, brokoli RM6 sekilogram dan kobis bunga RM4.50 sekilogram.
Seorang peniaga di pasar itu, Poh Kim Sim, 52, berkata harga sayur turun sejak semalam berikutan pemborong mula menghantar bekalan selepas cuti perayaan Tahun Baharu Cina.
“Memang sejak dua minggu lepas harga sayur naik dan turun tetapi lebih banyak naik kerana Tahun Baharu Cina dan cuaca tidak menentu, tetapi sejak semalam bekalan kembali pulih dan sayur mula turun harga,” katanya.
Seorang lagi peniaga Samsudin Ahmad, 45, berkata peniaga menetapkan harga jualan  berdasarkan harga yang ditawarkan oleh pemborong.
“Kami bukan sengaja mahu menaikkan harga sayur sebelum ini tetapi jika peniaga dapat dengan harga mahal daripada pemborong atau pembekal, kami terpaksa jual mahal. Tapi sejak semalam sayur dah masuk banyak dan harga juga lebih murah,” katanya.
Seorang pembeli Rozayah Musa, 50, berkata harga sayur yang ditawarkan hari ini  lebih murah berbanding dua minggu lepas, bagaimanapun barangan basah yang lain seperti ikan, ayam dan daging masih mahal.
“Sayur saja yang murah, yang lain-lain masih sama juga…saya harap barangan  basah juga dapat turun harga lepas ini, lagipun bukan musim perayaan dah,” katanya.
Sementara itu, harga ikan kembung saiz besar masih sama iaitu antara RM10 hingga RM12  sekilogram manakala ayam RM6.80 hingga RM7.80 sekilogram dan daging tempatan RM25 hingga RM28 sekilogram. – BERNAMA

Anggota, Kelengkapan Polis Yang Cukup Di PRK Kajang

Tan Sri Khalid Abu Bakar

KUALA TERENGGANU – Polis Diraja Malaysia akan menempatkan bilangan anggota dan kelengkapan mencukupi bagi menjaga keselamatan dan keamanan sepanjang proses Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang bulan hadapan.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya kini bersedia untuk menghadapi PRK itu dan memberi jaminan proses itu akan berjalan lancar.
Beliau berkata pihaknya juga sedia menghadapi sebarang kemungkinan semasa PRK itu.
Ia bukanlah pertama kali diadakan bagi penggal ini dan polis sudah pastinya menggunakan pengalaman sebelumnya dalam mengendalikan PRK, katanya kepada pemberita selepas Program Bicara Tokoh dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan PDRM di sini hari ini.
Khalid berkata pihaknya juga telah mengenalpasti beberapa kawasan panas di DUN berkenaan namun enggan mengumumkannya kerana masih terlalu awal.
“Setiap PRK ada corak tersendiri dan kita tengoklah di Kajang ini apa yang perlu dipertingkatkan lagi,” katanya.
Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya hari ini menetapkan 23 Mac sebagai tarikh pengundian PRK DUN Kajang manakala penamaan calon pada 11 Mac.
PRK itu diadakan ekoran Wakil Rakyat PKR Lee Chin Cheh melepaskan jawatan sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Kajang pada 27 Jan. – BERNAMA


Filem ‘Banglasia’ Arahan Namewee Diharamkan

Video Klip Namewee Terus Dibidas

PENGARAH filem kontroversi Wee Meng Chee atau Namewee (Gambar) kesal selepas filem terbarunya bertajuk “Banglasia” telah diharamkan tayangannya di Malaysia selepas mendapat banyak teguran Lembaga Penapisan Filem Negara (LPF).
Filem itu turut mendapat kritikan Kementerian Dalam Negeri kerana beberapa babak di dalam filem berkenaan difikirkan tidak sesuai.
“Filem “Banglasia” dikecam hebat oleh LPS dan KDN, malah kami telah diberikan sebanyak 31 catatan rasmi dan sekaligus diarahkan untuk membuat penggambaran semula.
“Ternyata kami sama sekali tidak mampu untuk melakukan penggambaran semula kerana kesemua 31 catatan yang dikeluarkan oleh LPF adalah kira-kira 90 peratus dari filem tersebut,” ujar Namewee dalam satu kenyataanya di laman Facebook miliknya.
Tambah Namewee lagi, filem arahan keempatnya itu bukan sahaja tidak dapat ditayangkan di Malaysia, malah pihak berkuasa juga telah mengeluarkan arahan tegas bahawa filem “Banglasia” juga tidak boleh ditayangkan menerusi laman web YouTube, rangkaian jaringan laman web ataupun dijual di pasaran tidak kira sama ada yang sah di sisi undang-undang ataupun cetak rompak.
Oleh itu, mana-mana pihak yang didapati menayangkan filem ini sama ada di rumah persendirian ataupun di kawasan awam akan berdepan tindakan undang-undang.
Dalam pada itu, Namewee sempat memohon maaf terutamanya kepada para pelabur yang telah mengalami kerugian besar berikutan pengharaman filem itu, dan juga kepada krew produksi serta peminat-peminat yang menantikan filem “Banglasia”.
Biarpun filemnya tidak berjaya ditayangkan, ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus menghasilkan filem pada masa akan datang.
“Walaupun tidak berjaya ditayangkan di pawagam, saya berharap anda akan terus menyokong dan menantikan kemunculan filem saya yang seterusnya. Saya akan berusaha lebih keras di masa hadapan untuk tidak mengecewakan sokongan anda. Mohon maaf.” – IBNU K/Mynewshub.my

Sein Ruffedge Dan Nana Dapat Anak Ketiga

Sein Ruffedge Dan Nana Dapat Anak Ketiga

TAHNIAH diucapkan kepada pelakon dan penyanyi Syed Hussein Syed Mustafa atau Sein serta isterinya, Nana yang telah dikurniakan cahaya mata ketiga, semalam.
Khabarnya, Nana terpaksa menahan kesakitan selama 16 jam sebelum bayi perempuannya dilahirkan pada jam 6.10 petang.
Berita gembira itu diumumkan sendiri olehnya melalui laman sosial miliknya.
Sein Ruffedge Dan Nana Dapat Anak Ketiga
Sein Ruffedge Dan Nana Dapat Anak Ketiga
Pasangan yang bernikah pada 8 Julai 2006 itu sebelum ini pernah menggemparkan industri seni tanahair apabila membuat keputusan untuk bercerai, namun kembali rujuk semula.
Diharapkan kelahiran bayi ini dapat melengkapkan lagi kebahagiaan keluarga Sein dan Nana untuk selama-lamanya.

Next-Generation 737 Pertama Dipasang

Boeing Bina Next-Generation 737 Pertama

KUALA LUMPUR – Boeing kini memulakan pemasangan  Next-Generation 737 pertama pada minggu ini pada kadar 42 kapal terbang dalam tempoh sebulan, peningkatan kira-kira 33 peratus sejak 2010.
Boeing berkata mekanik syarikat akan memasukkan bahagian asas utama bagi struktur sokongan dalaman di bahagian sayap, awal pagi Rabu ke dalam mesin spar-pemasangan. Spar merupakan langkah pertama dalam membina sayap dan penanda permulaan pemasangan kapal terbang di Renton, kilang Washington di Amerika Syarikat.
“Kenaikan kadar ini menggambarkan komitmen kami bagi membolehkan kapal terbang terlaris di dunia diserahkan kepada pelanggan kami secepat mungkin.
“Penambaikan kecekapan di kilang, kebanyakannya dibangunkan oleh kakitangan kami merupakan faktor terbesar mengapa kami berjaya untuk mempertingkatkan bilangan binaan kapal terbang kami,” kata Beverly Wyse, Timbalan Presiden dan Pengurus Besar, Program 737, Kapal Terbang Komersil Boeing dalam kenyataan hari ini.
Menurut Boeing, pesawat Next-Generation 737 pertama dijadual diserahkan  pada suku kedua, menambah kepada kadar pengeluaran 737 yang dijadualkan meningkat kepada 47 pesawat sebulan pada 2017. – BERNAMA

Kebakaran Muzium Lilin: Mungkin Khianat Dalaman

Kebakaran Muzium Lilin i-City Mungkin Khianat Dalaman

KUALA SELANGOR – Polis tidak menolak kemungkinan kebakaran di muzium lilin The Red Carpet di i-City, Shah Alam berpunca daripada perbuatan khianat melibatkan pihak dalaman.
Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Abd Rahim Jaafar berkata polis masih menyiasat motif kejadian daripada pelbagai sudut termasuk juga kemungkinan penglibatan pihak luar.
“Kita juga sedang menyiasat sama ada kebakaran itu berpunca dari persaingan perniagaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat lawatan kerja sempena Op Selamat di Kampung Asam Jawa di sini hari ini.
Kebakaran kira-kira pukul 2.30 pagi Rabu lepas itu yang memusnahkan sebahagian ruang pameran dan sebanyak 10 patung lilin dipercayai dilakukan tiga individu berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang dalam muzium berkenaan.
Timbalan Pengerusi I-Berhad, pemaju i-City, Datuk Eu Hong Chew dilaporkan berkata kerja-kerja mengganti dan membina semula 10 buah patung lilin yang musnah akibat kebakaran itu sedang giat dijalankan dan dijangka dapat dibuka semula untuk orang ramai dalam masa dua bulan lagi.
Dalam perkembangan lain, Abd Rahim berkata Op Selamat IV yang dilancarkan sempena perayaan Tahun Baharu Cina bermula 24 Jan lepas sehingga hari ini menunjukkan penurunan dari segi kemalangan jalan raya di Selangor sebanyak lapan peratus dari tahun lepas.  – BERNAMA
Kebakaran Muzium Lilin: Mungkin Khianat Dalamanhttp://mynewshub.my/wp-content/uploads/SG05_040214_PATUNG_TERBAKAR.jpghttp://mynewshub.my/wp-content/uploads/SG05_040214_PATUNG_TERBAKAR-150x150.jpgMyNewsHubTerkini,,

Kes Lelaki Dituduh Tetak, Simbah Asid April Ini

Kes Lelaki Dituduh Tetak, Simbah Asid April Ini

KOTA BHARU – Seorang lelaki yang menghadapi dua pertuduhan mendatangkan kecederaan, menetak dan menyimbah asid terhadap dua individu pada 2011 dan 2012, akan dibicarakan di dua Mahkamah Sesyen di sini pada April.
Pemilik kedai mencuci kenderaan, Mohd Nurfino Omar, 30, yang dituduh menetak pengusaha hotel Abdul Aziz Dollah, 50, pada 2011 akan dibicarakan pada 27 dan 28 April.
Hakim Mohd Yusoff Yunus menetapkan tarikh perbicaraan itu hari ini terhadap Mohd Nurfino yang didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas menetak Abdul Aziz menggunakan parang, di sebuah hotel di Jalan Sri Cemerlang, antara 1.30 tengah hari dan 4 petang pada 19 Jun 2011.
Di sebuah lagi Mahkamah Sesyen, Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menetapkan 29 dan 30 April sebagai tarikh perbicaraan bagi Mohd Nurfino yang dituduh menetak dan menyimbah asid ke atas seorang penjaga bot Mohd Khaidzir Hanafi, 33.
Bagi pertuduhan kedua itu, dia didakwa bersama tiga orang yang masih bebas melakukan perbuatan menetak dan menyimbah asid terhadap Mohd Khaidzir di hadapan sebuah rumah di Kampung Padang Purut, Nilam Puri di sini antara 12.30 tengah malam dan 1 pagi, 13 Feb 2012.
Kedua-dua kesalahan didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Untuk pertuduhan pertama itu, kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala pertuduhan kedua pula dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Hamizah Ghazali.
Tertuduh bagi kedua-dua kes itu diwakili peguam Latifah Ariffin dan Mohd Zubairi Salleh.
Pada 5 Jan lepas, Mohd Nurfino membuat pengakuan tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap kedua-dua pertuduhan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Mohd Yusoff dan tidak dibenarkan diikat jamin oleh mahkamah. – BERNAMA

Wednesday, 5 February 2014

Izzue Islam Buktikan Bukan Lagi Penyanyi Tempelan

Izzue Islam Buktikan Bukan Lagi Penyanyi Tempelan

PETALING JAYA – Pelakon dan penyanyi Izzue Islam menganggap peluang menjadi vokal utama dalam single baharu kumpulan Forteen berjudul Tidak Pernah Berjumpa membuktikan dia boleh menyanyi dan bukan sekadar tempelan.
Izzue atau nama sebenar Muhammad Izzul Islam, 24, berkata, setiap lagu yang dicipta untuk dinyanyikan oleh ahli kumpulan tersebut sebelum ini dipilih mengikut keistimewaan vokal masing-masing.
“Lagu-lagu sebelum ini lebih sesuai dengan suara anggota kumpulan yang lain, jadi mereka menjadi suara utama untuk lagu tersebut.
“Ia bukan bermakna kehadiran saya dalam kumpulan tersebut hanya sebagai tempelan atau penyanyi suara belakang sahaja, cuma ketika itu suara mereka lebih bersesuaian.
“Selepas lagu Tidak Pernah Berjumpa ini siap, komposer Edry Abdul Halim menganggap suara saya lebih sesuai untuk menjadi suara utama,” katanya kepada mStar Online, di sini, pada Rabu.
Dalam pada itu, Izzue turut menafikan tuduhan ahli kumpulan tersebut tidak mampu menyanyi secara ‘live’ di depan umum.
Tambahnya, Forteen telah beberapa kali membuktikan keupayaan mereka menyanyi secara langsung dengan baik di beberapa acara hiburan.
“Tiada isu bahawa kami tidak boleh menyanyi kerana Forteen sendiri tidak pernah menyanyi secara ‘miming’ pada setiap persembahan.
“Bagi saya, sesiapa yang berkata begitu disebabkan mereka tidak pernah melihat kami melakukan persembahan,” katanya.
Bagaimanapun, Izzue mengakui mereka perlu sentiasa belajar teknik vokal yang betul bagi meningkatkan prestasi persembahan kumpulan tersebut.
Dalam pada itu, Forteen buat pertama kalinya akan mengadakan Konsert KITA 20FORTEEN yang bakal berlangsung pada 29 Mac depan di KL Live, Jalan Sultan Ismail dekat sini.
Izzue Islam Buktikan Bukan Lagi Penyanyi Tempelan
Tambahnya, konsert tersebut merupakan penghargaan kepada peminat mereka setelah genap tiga tahun berada dalam industri seni tanah air.
“Ini merupakan konsert pertama kami dan banyak kejutan yang dirancang untuk dilakukan pada hari tersebut.
“Buat masa ini kami sibuk dengan latihan persediaan dan akan menyanyikan sebanyak 15 buah lagu,” katanya.
Tiket menyaksikan persembahan itu dijual dengan harga RM80 boleh didapati dengan menghubungi hotline United Studios di talian 03-8320-1888, KL Live 03-2162-2570 dan di Redbox Ria 03-2145-7788. – mStar Online