BUKIT MERTAJAM – Harga beberapa jenis sayur di Pulau Pinang turun sejak semalam berikutan bekalannya kembali pulih selepas pembekal dan pemborong mula menghantar bahan mentah berkenaan kepada peniaga.
Tinjauan Bernama di Pasar Awam Bukit Mertajam di sini mendapati harga cili merah turun kepada RM8 sekilogram berbanding RM10.50 sebelum sambutan Tahun Baharu Cina minggu lepas, sementara harga sawi kini RM2 sekilogram berbanding RM3.50 sebelum ini.
Harga tomato yang sebelum ini RM5.50 sekilogram juga turun kepada RM4.30 hari ini manakala beberapa sayuran yang diimport dijual pada harga sama, contohnya kobis panjang dari China pada harga RM3.50 sekilogram, brokoli RM6 sekilogram dan kobis bunga RM4.50 sekilogram.
Seorang peniaga di pasar itu, Poh Kim Sim, 52, berkata harga sayur turun sejak semalam berikutan pemborong mula menghantar bekalan selepas cuti perayaan Tahun Baharu Cina.
“Memang sejak dua minggu lepas harga sayur naik dan turun tetapi lebih banyak naik kerana Tahun Baharu Cina dan cuaca tidak menentu, tetapi sejak semalam bekalan kembali pulih dan sayur mula turun harga,” katanya.
Seorang lagi peniaga Samsudin Ahmad, 45, berkata peniaga menetapkan harga jualan berdasarkan harga yang ditawarkan oleh pemborong.
“Kami bukan sengaja mahu menaikkan harga sayur sebelum ini tetapi jika peniaga dapat dengan harga mahal daripada pemborong atau pembekal, kami terpaksa jual mahal. Tapi sejak semalam sayur dah masuk banyak dan harga juga lebih murah,” katanya.
Seorang pembeli Rozayah Musa, 50, berkata harga sayur yang ditawarkan hari ini lebih murah berbanding dua minggu lepas, bagaimanapun barangan basah yang lain seperti ikan, ayam dan daging masih mahal.
“Sayur saja yang murah, yang lain-lain masih sama juga…saya harap barangan basah juga dapat turun harga lepas ini, lagipun bukan musim perayaan dah,” katanya.
Sementara itu, harga ikan kembung saiz besar masih sama iaitu antara RM10 hingga RM12 sekilogram manakala ayam RM6.80 hingga RM7.80 sekilogram dan daging tempatan RM25 hingga RM28 sekilogram. – BERNAMA
Sumber: http://rx.hu/4c3H
No comments:
Post a Comment