SENAI – Tindakan 10 pendatang asing tanpa izin (Pati) cuba keluar dari negara ini menerusi laluan tikus gagal apabila dicekup sebelum sempat menaiki bot pancung di pantai berdekatan Kompleks Sukan, Bandar Penawar, Kota Tinggi, kelmarin.
Kesemua mereka ditahan sepasukan anggota dari Markas Tektikal Pasukan Polis Marin Wilayah Dua (PPM W2) Pengerang yang menggempur lokasi itu selepas beberapa siri intipan dilakukan.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Dua, Asisten Komisioner Zainul Abidin Hasan berkata, hasil pemeriksaan dijalankan, mereka berjaya menahan tujuh lelaki dan tiga wanita yang kesemua mereka berusia lingkungan 19 tahun hingga 49 tahun.
“Hasil soal siasat, kesemua Pati mengaku hendak balik ke Indonesia menggunakan bot pancung secara tidak sah.
“Kesemua mereka didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002 dan dibawa ke Balai Polis Bandar Penawar, Kota Tinggi untuk tindakan lanjut,” katanya.
Jelasnya, antara kesalahan dilakukan Pati ini ialah di bawah seksyen 5(2) iaitu cuba masuk atau keluar Malaysia melalui laluan tidak diwartakan, seksyen 6(1)(c), tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan seksyen 15(4) iaitu tinggal lebih masa atau pasport tamat tempoh.
Sementara itu, bagi tempoh dari bulan Januari sehingga kelmarin, sebanyak 14 kes tangkapan telah dibuat pasukan itu di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIP) 2007 dan Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002.
Seramai 158 Pati ditahan dan turut ditangkap, dua lelaki yang bertindak sebagai tekong. – Sinar Harian Online
Sumber: http://rx.hu/iwfw
No comments:
Post a Comment